RAHIMI ketika dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada 22 Mac lalu. FOTO ihsan FB Mujahid.
RAHIMI ketika dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada 22 Mac lalu. FOTO ihsan FB Mujahid.
Zuhainy Zulkiffli


“TERIMA kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan adik saya,” demikian ucapan Rosdi Ahmad, 42, abang kepada Rahimi Ahmad, 39, mangsa serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, pada 16 Mac lalu.

Rosdi berkata, berikutan perkembangan positif itu, Rahimi sudah dipindahkan ke Hospital Burwood, Christchurch, sejak Rabu lalu bagi meneruskan rawatan fisioterapi berhubung pergerakan kaki kanannya.

“Rawatan di hospital itu adalah lebih kepada pemulihannya dan Rahimi mendapat rawatan terbaik di sini.

“Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas ucapan dan doa kepada Rahimi serta mangsa lain yang terbabit dalam serangan itu,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, Rosdi dan ibunya, Rokiah Mohammad, 65, diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang mewakili kerajaan negeri ke Christchurch pada 17 Mac lalu bagi melihat perkembangan Rahimi dan rakyat Malaysia terbabit dalam serangan.

Mengulas lanjut, Rosdi berkata dia dan Rokiah dijangka pulang ke Pulau Pinang menerusi penerbangan pada 11.50 pagi esok waktu tempatan.

Katanya, beliau sekeluarga akan mengikuti perkembangan kesihatan Rahimi menerusi isteri Rahimi, Norazila Abdul Wahid, 39, di Christchurch.

“Sebelum serangan itu, Rahimi merancang mahu pulang ke rumah ibu di Kampung Binjai, Bayan Lepas pada Ramadan ini.

“Namun, belum pasti sama ada rancangan itu diteruskan dan bergantung kepada kesembuhannya,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua lagi rakyat Malaysia, Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, turut tercedera manakala anak sulung Rahimi, Ahmad Razif, 11, berjaya diselamatkan orang awam.

Serangan di dua masjid ketika solat Jumaat itu mengorbankan lebih 50 individu termasuk seorang rakyat Malaysia, iaitu anak kedua Mohd Tarmizi, Allahyarham Mohd Haziq, 17.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 12:18 AM