Kereta mewah rosak teruk selepas terjunam ke dalam curam. FOTO Ihsan Pembaca
Kereta mewah rosak teruk selepas terjunam ke dalam curam. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


LELAKI dari Singapura retak bahu kiri selepas kereta mewah dipandunya menjunam ke dalam curam bukit sedalam 15 meter dalam kejadian di Jalan Aring ke Kenyir, Hulu Terengganu semalam.

Difahamkan, kejadian 9 pagi itu berlaku selepas kereta Porsche 911 dipandu Ong Hong Woon, 45, hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum jatuh ke curam bukit di situ.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Adli Mat Daud berkata, ketika kejadian, cuaca baik dan punca masih dalam siasatan.

“Difahamkan mangsa dari arah Dungun menuju ke Gua Musang, bagaimanapun setibanya di tempat kejadian kenderaan dipandu hilang kawalan.

“Selain retak bahu kiri, mangsa juga mengalami kecederaan pada bahagian mulut dan patah gigi,” katanya.

Menurutnya, mangsa dirujuk ke Kuala Terengganu Specialist (KTS) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 4:25 PM