PASUKAN Hazmat mengukur radiasi untuk pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim sebelum ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PASUKAN Hazmat mengukur radiasi untuk pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim sebelum ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa


JABATAN Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan dan sekolah yang terjejas akibat pembuangan haram bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, 7 Mac lalu.

JAS dalam satu kenyataan media berkata, data yang dikumpul hasil pemantauan kualiti udara di 30 sekolah di dalam radius 10 kilometer (km) di sekitar Pasir Gudang menunjukkan kualiti udara pada paras yang dibenarkan dan stabil.

Menurutnya, selain itu, JAS menjalankan pemantauan di lokasi tertentu dalam lingkungan radius 15 km dari punca kejadian.

Menurutnya, secara keseluruhan keputusan bagi data pemantauan kualiti udara di semua lokasi berkenaan pada paras dibenarkan dan dalam keadaan stabil.

Katanya, JAS akan terus melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan terjejas bagi memastikan kualiti udara pada paras dibenarkan bagi penduduk tempatan serta murid sekolah.

Pemantauan kualiti udara katanya, bagi memastikan kejadian pelepasan bahan toksik ke udara tidak berulang.

Pada 7 Mac lalu, pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim menyebabkan murid dan pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih loya, pening, sakit tekak dan pengsan akibat keracunan.

Keadaan itu berterusan hingga Kementerian Pendidikan mengarahkan semua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.

Kejadian itu menyebabkan lebih 5,000 penduduk mendapatkan rawatan termasuk dirawat di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, selepas keadaan bertambah baik semua 111 sekolah dibuka semula esok dan cuti tidak perlu diganti semula.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 8:28 PM