KEADAAN Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang semalam. FOTO Bernama
KEADAAN Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang semalam. FOTO Bernama
Mohd Sabran Md Sani


TERDAPAT 22 pesakit baharu dirujuk ke hospital akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sehingga 12 tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, bagaimanapun jumlah pesakit yang ditahan di wad hospital berkurangan.

“Jumlah pesakit yang dibenarkan selepas pulang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) adalah seramai 73 orang.

“Pesakit baharu yang dirujuk ke hospital seramai 22 orang, manakala dua daripada empat pesakit saja masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama sebanyak 92 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA KEMAS ) diarah tutup sehingga cuti sekolah.

“Ia membabitkan 64 TABIKA dan 1 TASKA di Parlimen Pasir Gudang, 25 TABIKA dan 1 TASKA di Parlimen Tebrau dan 1 TABIKA di Parlimen Tenggara.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira taklimat diberikan agensi berkaitan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan sentiasa mengemaskini sebarang informasi terkini dari masa ke semasa berkaitan insiden ini,” katanya.

Kualiti udara di Pasir Gudang katanya, semakin pulih dan pemantauan berterusan dijalankan pasukan pemantau Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar bagi memastikan keadaan benar-benar stabil.

“Pemantauan dilakukan di 42 sekolah oleh 30 pasukan pemantau di sekitar Pasir Gudang.

“Pemantauan dibuat pada 12 tengah hari, 3 petang dan 6 petang pada 17 Mac lalu oleh anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, hampir semua sekolah menunjukkan nilai kompaun organik tidak stabil (VOC) sifar ppm, kecuali bacaan di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 3 yang menunjukkan sekali sahaja bacaan VOC pada kadar lima ppm dan 3 ppm.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan sebaran maklumat melalui WhatsApp dan media sosial kerana ia belum tentu sahih.

Untuk sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, sila hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 07-2522143 atau 07-2532143 atau boleh terus ke Aras 3, Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 11:09 AM