KONSTABEL polis yang berdepan dua tuduhan rasuah dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Ipoh.
KONSTABEL polis yang berdepan dua tuduhan rasuah dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Ipoh.
Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh : Seorang konstabel polis dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang suapan bernilai RM4,000 pada Ogos lalu.

Tertuduh Mohd Azrol Azreen Abu Hasan, 26, yang bertugas di Batalion 2 Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Kedah, didakwa meminta melalui panggilan telefon di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, pada jam 12 tengah hari 31 Ogos lalu, wang suapan sebanyak RM4,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tiga wanita warga Myanmar kerana tidak mempunyai kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang tunai sebanyak RM4,000 pada tarikh sama jam 2.40 petang di Jalan Persiaran Meru Raya 5, Meru Raya, Ipoh, bagi tujuan sama.

Mohd Azrol Azreen didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mukhriz Mat Rus di hadapan Hakim Madihah Harullah, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana bimbang tertuduh melarikan diri serta menggangu saksi iaitu ketiga-tiga wanita Myanmar terbabit.

Mohd Azrol Azreen, bagaimanapun merayu agar dibenarkan jaminan kerana perlu menanggung keluarga termasuk dua anak kecil yang berusia dua dan tiga tahun.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin iaitu isteri dan ibu tertuduh serta menetapkan 28 Oktober ini untuk perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 September 2014 @ 4:53 PM