LAPORAN portal Harian Metro mengenai kes dera membabitkan seorang ustaz di Kuantan.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai kes dera membabitkan seorang ustaz di Kuantan.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“MEMARAHI, mencubit dan menengking (murid) sudah menjadi kebiasaan ustaz berkenaan.

“Saya sendiri pernah melihat dia mencubit dan ‘pulas’ seorang murid sehingga menangis,” kata Abdul Majid Ahmad, 70, kariah surau di Taman Seri Damai Aman di Kuantan.

Surau berkenaan diubah suai dan menempatkan 19 murid tahfiz yang didakwa menjadi mangsa dera ustaz yang berusia 46 tahun terbabit.

Abdul Majid berkata, sejujurnya dia tidak mengenali lelaki itu dengan rapat memandangkan pusat tahfiz yang dipanggil madrasah itu baru sahaja beroperasi sejak Tahun Baru Cina lalu.

Katanya, ustaz berkenaan seorang yang tegas ketika mengajar sehingga kadang kala muridnya kelihatan agak takut ketika berhadapan dengannya.

“Mungkin itu caranya mengajar, saya tidak mahu masuk campur, namun saya tidak menyangka ia menjadi serius begini sehingga mendatangkan kecederaan.

“Tidak pernah pula murid datang kepada saya dan mengadu mengenai perkara itu (didera), perkara ini terbongkar apabila bapa seorang murid membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan seramai 19 murid berusia lapan hingga 15 tahun menjadi mangsa dera ustaz berkenaan.

Kejadian itu disedari selepas seorang murid mengadu kepada ibunya pada 16 Mac lalu yang dia sering dirotan dipukul, dan dicubit sejak mengikuti pembelajaran di pusat tahfiz berkenaan.

Lebih menjijikkan, ada murid mendakwa pernah dicium pada mulut oleh ustaz berkenaan.

Pusat tahfiz berkenaan beroperasi di surau berkenaan yang diubah suai sebagai asrama dan tempat belajar.

Abdul Majid berkata, selepas laporan polis dibuat, kelibat ustaz berkenaan sudah tidak kelihatan sehingga hari ini.

“Jika dia tidak melakukan sebarang kesalahan, sepatutnya dia datang ke sini dan menceritakan hal yang sebenar.

“Kami tidak tahu dia pergi ke mana, hairan juga mengapa dia menghilangkan diri,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kesalahan seksual, termasuk mencium mulut murid berkenaan, Abdul Majid berkata dia tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu kerana saya tidak mengetahuinya, bimbang akan jadi fitnah,” katanya.

Berita berkaitan

Ustaz dera 19 murid

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 7:25 PM