SUNDRA Rajoo. FOTO arkib NSTP
SUNDRA Rajoo. FOTO arkib NSTP
Nur Lela Zulkipli


BEKAS pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Prof Dr Sundra Rajoo diberi tempoh 24 jam untuk hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas gagal berbuat demikian, hari ini.

Sundra yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya didakwa atas tiga pertuduhan hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar memohon waran tangkap dikeluarkan berikutan kegagalan Sundra menghadirkan diri ke mahkamah.

Hakim Azura Alwi bagaimanapun menolak permohonan itu selepas diberitahu bahawa Sundra akan menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi esok.

“Kita akan beri dia (Sundra) tempoh 24 jam untuk hadir selepas tamat prosiding di Mahkamah Tinggi (esok),” katanya.

Peguam, K Shanmuga yang mewakili Sundra dalam kesnya di Mahkamah Tinggi turut hadir sebagai rakan mahkamah.

Sundra sebelum ini dilaporkan mempersoalkan rancangan SPRM untuk mendakwanya sehari sebelum permohonannya untuk kebenaran memohon semakan kehakiman bagi penetapan pendengaran (kes mendapatkan imuniti) daripada Mahkamah Tinggi.

Pada 6 Mac lalu, Sundra memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menegaskan semula imunitinya berhubung tindakan yang dilakukannya ketika menjadi pengarah AIAC.

Sundra mendapat perhatian selepas SPRM menyerbu pejabatnya tahun lalu dan selain beberapa kakitangannya disoal siasat.

Dia disyaki menggunakan dana kerajaan untuk mendapatkan manfaat daripada menteri untuk menyambung kontraknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 4:14 PM