MANGSA yang maut ditempat kejadian. FOTO ihsan pembaca
MANGSA yang maut ditempat kejadian. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Anggota wanita Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) meninggal dunia selepas motosikal diboncengnya bergesel dengan sebuah lori di Jalan Subang-Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Shahrul Rina Mohamad, 40, yang membonceng motosikal bersama rakannya disahkan meninggal dunia di lokasi.

Seorang lagi mangsa, Suzilawati Abdul Rahim, 40, yang menunggang motosikal itu pula cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki dua mangsa dari arah Subang hilang kawalan lalu bergesel dengan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun.

"Kejadian itu mengakibatkan pembonceng motosikal itu jatuh sebelum diseret lori itu sejauh 19.5 meter.

"Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal itu disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penunggang pula dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, satu video berdurasi 21 saat menunjukkan keadaan penunggang serta pembonceng motosikal berkenaan sejurus selepas kemalangan itu tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 9:41 PM