Muhammad Apendy Isahak


“SEDIH bila kenangkan tiada lagi anak lelaki apabila kini arwah (Mohd Ruzaimi) pergi tinggalkan kami selepas abangnya meninggal dunia akibat lemas kira-kira 10 tahun lalu,” kata Jeleha Awang, 70.

Jeleha ibu kepada Juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang maut selepas pacuan empat roda dinaiki dirempuh pesawat di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor awal pagi kelmarin.

Mangsa, menghembuskan nafas terakhir jam 6.45 petang semalam, meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia setahun hingga 13 tahun.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anak keduanya daripada tiga beradik itu pada bulan lalu untuk uruskan hal tanah.

“Abang arwah meninggal dunia akibat lemas. Selepas ketiadaan suami serta anak sulung, dialah ketua keluarga. Kini dia pula `pergi’ tinggalkan kami.

“Terkejut waktu dimaklumkan kejadian itu, tak sangka boleh jadi macam tu. Namun walaupun sedih saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tanah Perkuburan Kampung Changkat Belengkor, Batu gajah, Perak, selepas selesai majlis pengebumian hari ini.

Menurutnya, Mohd Ruzaimi seorang anak yang baik serta bertanggungjawab pada keluarga.

Bapa saudara Allahyarham, Roslan Latiff, 58, mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu menguruskan jenazah daripada awal hingga akhir.

“Pihak keluarga mohon maaf jika ada kekurangan dan kesilapan sewaktu arwah dirawat hingga dikebumikan,” katanya.

Terdahulu jenazah Mohd Ruzaimi yang selesai dibedah siasat di Hospital Sungai Buloh, Selangor tiba di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, di sini kira-kira jam 5 petang untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan dan pengebumian selesai jam 5.45 petang.

Berita berkaitan

Pemandu parah pesawat langgar kereta

[UPDATE] Masih kritikal

[UPDATE] - Juruteknik MAHB dirempuh kapal terbang meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:30 PM