Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan kepada keselamatan lokasi tertentu termasuk rumah ibadat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ia susulan insiden tembakan rambang ke atas dua masjid di New Zealand yang dilapor mengorbankan 49 nyawa semalam.

“Polis maklum perkara ini dan kita minta mereka memberikan kawalan dan pemerhatian serius khususnya di tempat agama,” katanya ditemui selepas operasi menangkap pendatang asing tanpa izin di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan hari ini.

Insiden itu turut mencederakan tiga rakyat Malaysia.

“Kami bersimpati dengan keluarga mangsa yang terbabit dalam insiden serangan keganasan itu,” katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis akan memperketatkan kawalan keselamatan di tempat ibadat dan pusat hiburan.

“Kita sentiasa mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memantau tempat ibadah dan tempat sensitif,” katanya selepas Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk 2019 hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Selain itu, Ayob Khan berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mengeksploitasi isu agama dan perkauman yang boleh menggugat keamanan negara.

“Saya tegaskan jangan ada sebarang pihak khususnya di Malaysia mengeksploitasi isu agama dan perkauman atau hak-hak istimewa, institusi Raja di Malaysia untuk kepentingan mereka,” katanya.

Ayob Khan berkata, isu sedemikian boleh mencetuskan tindak balas pihak tertentu seperti mereka yang terbabit dengan Daesh untuk melakukan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 5:31 PM