GAMBAR fail menunjukkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
GAMBAR fail menunjukkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


JUMLAH pesakit yang mendapatkan rawatan di wad Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai akibat pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, mencatatkan penurunan hari ini dengan merekodkan 371 orang berbanding 491 pesakit, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah terkini itu menunjukkan penurunan bilangan pesakit yang masih mendapatkan rawatan.

“Seramai 185 mangsa yang mendapatkan rawatan di tiga hospital itu sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, manakala 65 pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad.

“Seramai lapan orang masih diberikan rawatan di unit rawatan rapi (ICU)dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pembersihan yang dikawal selia Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih diteruskan kontraktor menggunakan jentera dan mesin secara manual.

“Kerja-kerja pembersihan dilakukan mengikut tiga syif, 24 jam sehari,” katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian ketika kerja pembersihan dilakukan kontraktor.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta JAS sentiasa memantau kerja-kerja pembersihan dan mengambil indeks kualiti udara.

Malah katanya, sejak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) beroperasi, pelbagai bantuan diterima daripada individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta berbentuk sumbangan makanan, peralatan keselamatan dan perubatan serta khidmat konsultasi dari pakar berkaitan.

Orang ramai dan agensi yang ingin menyampaikan bantuan dan sumbangan boleh hubungi PKOB di talian 07-2522143 atau 07-2532143 atau ke aras 3 Menara Aqabah MPPG.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 10:40 AM