MUHAMMAD Zabir (empat kiri) dan Aqif Farhan (tiga kiri) bersama pelajar cemerlang 9A+ SPM, Aiman Hadi Sharizal (kiri), Muhammad Fadzrul Kamaruddzaman (dua kiri) dan Iman Alimi Mohd Jata (kanan). FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHAMMAD Zabir (empat kiri) dan Aqif Farhan (tiga kiri) bersama pelajar cemerlang 9A+ SPM, Aiman Hadi Sharizal (kiri), Muhammad Fadzrul Kamaruddzaman (dua kiri) dan Iman Alimi Mohd Jata (kanan). FOTO Luqman Hakim Zubir
Siti A’isyah Sukaimi


BANGUN seawal 5 pagi untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan berdoa dan solat sunat tahajud menjadi rutin harian seorang calon dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Amalan berbentuk kerohanian itu adalah antara rahsia kecemerlangan Muhammad Zabir Azreen Redzal, 18, yang memperoleh 10A+ dalam peperiksaan berkenaan.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, setiap hari dia akan bangun sebelum subuh kerana ketika itu, antara waktu sesuai untuk ‘bersendirian’ meluahkan segala-galanya kepada Maha Pencipta.

“Selain memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran di dalam kelas, rutin harian saya adalah bangun pagi seawal waktu berkenaan seterusnya beribadah untuk bekalan akhirat.

“Ia disambung dengan solat subuh secara berjemaah dan selepas itu, barulah saya akan mengulang kaji pelajaran,” katanya ketika ditemui pada pengumuman keputusan SPM di Sekolah Sultan Alam Shah, hari ini.

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Muhammad Zabir yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, dia berharap dapat mengambil A Level dan menyambung sarjana muda dalam bidang sains aktuari.

Katanya, bapanya seorang doktor pakar mata di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah manakala ibunya pegawai perubatan di klinik kesihatan namun, dia tidak berminat menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Aqif Farhan Azmil Farid, 18, yang turut memperoleh keputusan 10A+ berkata, dia ‘meniru’ cara belajar Muhammad Zabir kerana menyifatkan sahabat baiknya itu sangat cemerlang dalam pencapaian pelajaran.

“Kami rakan sekelas dan saya banyak mengikuti cara Muhammad Zabir belajar, tetapi kami tidak tinggal sebilik di asrama.

“Saya juga bangun 5 pagi sama seperti dia dan beribadah terlebih dahulu sebelum mengulang kaji pelajaran.

“Dari segi belajar, saya sama macam orang lain dan yang penting kena betul-betul minat selain tidak malu bertanya kepada guru untuk menambahkan maklumat,” katanya.

Aqif Farhan yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara iaitu institusi pengajian terkemuka di Ireland.

Katanya, bapanya adalah pegawai perubatan di hospital swasta manakala, ibunya pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur antara faktor anak sulung daripada empat beradik itu mahu menceburi bidang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 2:33 PM