ANGGOTA Hazmat dan pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim yang mengakibatkan beberapa murid dan pelajar mengalami kesesakan nafas serta sekolah ditutup di Pasir Gudang.
ANGGOTA Hazmat dan pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim yang mengakibatkan beberapa murid dan pelajar mengalami kesesakan nafas serta sekolah ditutup di Pasir Gudang.
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENDAKWAAN ke atas suspek utama kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, yang dijadualkan hari ini, belum dapat dijalankan.

Ia berikutan kertas siasatan dipulangkan semula ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, untuk dilengkapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, kertas siasatan sudah pun dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, selepas selesai menjalankan siasatan ke atas suspek berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, namun pihak JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan itu,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan masih belum dapat dijalankan sehingga pihaknya mendapat arahan lanjut daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Pendakwaan masih belum lagi (dibuat) sehingga mendapatkan arahan lanjut dari pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Terdahulu, seawal 8 pagi, lebih 20 pengamal media menunggu di perkarangan Kompleks Mahkamah Sesyen / Majistret Johor Bahru, bagi mengikuti pendakwaan ke atas suspek yang dijadualkan, hari ini.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam satu sidang media berkata, pengusaha kilang penguraian tayar haram di Kulai akan didakwa di mahkamah, hari ini.

Suspek itu dipercayai menjadi dalang pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim pada 7 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:32 AM