Kebakaran membabitkan tiga kilang membuat plastik di Bukit Sentosa. FOTO Ihsan Pembaca
Kebakaran membabitkan tiga kilang membuat plastik di Bukit Sentosa. FOTO Ihsan Pembaca
Hasbi Sidek


API daripada bahan mudah terbakar untuk membuat plastik menyukarkan pihak bomba untuk memadamkan kebakaran tiga kilang membuat plastik di Jalan Seri Pagi, Seksyen BS3 di Bukit Sentosa dekat Rawang, petang tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian yang berlaku pada 2.45 petang itu.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai (Jabatan Bomba dan Penyelamat) JBPM Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira empat jam untuk memadamkan kebakaran kerana api sukar dipadamkan.

“Kami menerima panggilan pada 2.53 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

“Seramai 31 petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baru, BBP Rawang, BBP Batu Arang dan BBP Tanjung Malim dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Kebakaran itu membabitkan tiga kilang membuat plastik di anggaran kawasan berkeluasan 731 meter persegi terbakar.

“Bahan untuk membuat plastik dikenali sebagai polyethylene yang mudah terbakar menyukarkan tugas kami,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak sebelum kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 7 petang.

“Punca kebakaran masih belum diketahui. Pasukan forensik berada di lokasi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 9:29 PM