Nelayan, Manab Mohamed, 50, bersama rakannya terpaksa ke kawasan lebih jauh sehingga ke Tanjung Belungkor, Kota Tinggi untuk menangkap ikan. FOTO Zain Ahmed
Nelayan, Manab Mohamed, 50, bersama rakannya terpaksa ke kawasan lebih jauh sehingga ke Tanjung Belungkor, Kota Tinggi untuk menangkap ikan. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa


PENIAGA ikan di sekitar Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang rugi lebih 50 peratus pendapatan setiap hari apabila penduduk enggan membeli hidupan laut yang dijual disebabkan bimbang ia tercemar akibat pencemaran Sungai Kim Kim.

Peniaga, Malek Mohd Sah, 52, berkata, perniagaannya terjejas teruk sejak Khamis lalu apabila berita mengenai pencemaran Sungai Kim Kim tersebar melalui media sosial dan akhbar.

Katanya, biasanya dia boleh menjual sehingga 50 kilogram (kg) ikan sehari dan meningkat berkali ganda pada hujung minggu.

“Bagaimanapun, sejak Khamis lalu permintaan ke atas ikan, ketam dan pelbagai haiwan laut yang dijual tidak mendapat sambutan.

“Penduduk bimbang ia tercemar atau mempunyai kesan sampingan disebabkan kejadian di Sungai Kim Kim sedangkan saya mendapatkan bekalan dari nelayan di Pontian.

“Ini kerana selama ini pun, tangkapan nelayan di kampung ini terlalu sedikit dan tidak boleh menampung permintaan ramai termasuk peniaga kedai makan di kawasan sekitar,” katanya hari ini.

Dia yang juga penduduk asal kampung itu berkata, selama 10 tahun berniaga ni adalah tempoh paling sukar dilaluinya.

Katanya, selain penduduk enggan membeli ikan dengan alasan bimbang ia tercemar akibat pembuangan sisa toksik, peniaga pula membatalkan tempahan atas alasan sama.

“Saya berharap masalah ini diselesaikan segera dan dalang di sebalik kejadian ini dihukum termasuk mereka yang membuangnya.

“Ini kerana mungkin orang yang membuang sisa itu adalah pekerjanya dan mengikut arahan sedangkan dalangnya berbuat demikian kerana mahu berjimat,” katanya.

Menurutnya, selain peniaga ikan terjejas dia dapati rakan nelayan kurang ke laut mencari ikan kerana hasil tangkapan tidak boleh dijual selain bimbang terdedah bahaya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:36 PM