FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA hamil lima bulan bukan saja ditampar dan dipijak tetapi turut dipukul suaminya dengan spanar dalam kejadian di kawasan hutan Jalan Santong di Paka, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah malam ketika mangsa yang berusia 24 tahun berada di rumah keluarganya di Kampung Cacar, Paka didatangi suaminya.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, suspek berusia 30 tahun kemudiannya mengajak mangsa ke Kampung Batu Putih, Kerteh untuk melihat anak lelaki mereka berusia satu tahun yang demam panas.

“Mangsa terus mengikut suspek tetapi sebaik tiba di kawasan hutan, secara tiba-tiba lelaki itu memberhentikan motosikalnya dan bertindak menghumban mangsa ke tanah sebelum menampar mangsa.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut memukul kaki mangsa menggunakan spanar selain memijak kaki wanita terbabit.

“Sejurus kejadian itu, suspek membawa mangsa ke rumah kakaknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, susulan kejadian itu, mangsa yang menanggung kesakitan pada badan membuat laporan di Balai Polis Paka untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, difahamkan bahawa pasangan berkenaan tinggal berasingan kerana dalam proses penceraian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca suspek bertindak sedemikian.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 4:28 PM