SEBAHAGIAN daripada peserta yang menderma darah pada Program Derma Darah Bagi Minggu Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Ruang Menunggu Pelawat HSNZ, Kuala Terengganu, semalam. FOTO Rozainah Zakaria.
SEBAHAGIAN daripada peserta yang menderma darah pada Program Derma Darah Bagi Minggu Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Ruang Menunggu Pelawat HSNZ, Kuala Terengganu, semalam. FOTO Rozainah Zakaria.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KESUKARAN dihadapi penduduk miskin di beberapa negara jiran untuk berkhatan berikutan kos tinggi mendorong Persatuan Pembantu Perubatan (PPP) Terengganu menganjurkan Program Khatan Amal Nusantara di negara terbabit.

Terbaharu, PPP Terengganu yang turut mendapat kerjasama Persatuan Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) dan Pasca Siswazah Sultanah Zahirah (PGMES) merancang menjalankan program itu di Pattani, Yala dan Narathiwat, Thailand, pada bulan depan.

Jurucakap PPP Terengganu, Mohd Johari Yusof berkata, rakyat di Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia yang menghadapi krisis kemiskinan berdepan masalah apabila kos berkhatan ditetapkan hospital negara itu tinggi, sekali gus membataskan kemampuan penduduk untuk membiayainya.

“Sejak menganjurkan program amal ini pada 2015, pelbagai kes pernah diuruskan PPP Terengganu termasuk mengkhatankan lelaki berusia 30 dan 40 tahun.

“Ramai penduduk di Kemboja yang sudah lanjut usia baru berpeluang untuk berkhatan kerana masalah kesempitan wang dan tidak mampu membiayai kos berkhatan di negara mereka.

“Oleh itu apabila PPP Terengganu menganjurkan program ini, mereka berpeluang mendapatkan perkhidmatan kami secara percuma,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah Penolong Pegawai Perubatan Peringkat Negeri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Johari berkata, pihaknya menyasarkan seramai 300 kanak-kanak di Thailand akan dikhatankan pada program itu nanti.

“Kami bukan sahaja membantu mereka mendapatkan perkhidmatan berkhatan secara percuma, malah memberikan rawatan kesihatan selain menyumbang pelbagai bantuan dan keperluan kepada golongan asnaf di negara terbabit.

“Segala kos dan pelbagai bantuan dikumpul bersama hasil sumbangan orang ramai dan PPP serta doktor pakar yang menyertai program itu secara sukarela,” katanya.

Menurutnya, PPP Terengganu bersama 10 PPP dan seorang doktor pakar menjalankan program sama di Kemboja dan berjaya mengkhatankan seramai 150 kanak-kanak di negara berkenaan pada Februari lalu.

Katanya, kebiasaannya mereka menyasarkan paling kurang 100 kanak-kanak bakal dikhatankan, malah Sabah dan Sarawak antara lokasi kerap dianjurkan program berkenaan.

Pada program derma darah itu, seramai 70 penolong pegawai perubatan di Terengganu hadir untuk menderma darah dan pihak penganjur menyasarkan 100 beg darah dikumpulkan untuk mengisi Unit Tabung Darah HSNZ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:43 AM