MANGSA. FOTO Ihsan Pembaca
MANGSA. FOTO Ihsan Pembaca
Safuri Kamarudin


LELAKI ditemui mati tertiarap dipercayai terjatuh dari pokok kenuak di kebun sawit Kampung Surau, Mukim Siong, di Baling, semalam.

Mangsa, Mohamad Masri Abas, 37, dari Kampung Surau, Mukim Siong ditemui penduduk yang kebetulan lalu di situ dan ternampak mangsa tertiarap di bawah pokok berkenaan, jam 5 petang.

Ahli keluarganya, Alias Aziz, 40, berkata, mangsa sebelum itu keluar dari rumah selepas waktu Zohor dipercayai untuk mencari ulam.

Menurutnya, arwah dipercayai terjatuh dari pokok itu pada ketinggian kira-kira empat meter lebih awal lagi kerana ada kesan kayu dahan patah sebelum ditemui penduduk.

“Ketika kejadian dia berseorangan menyebabkan tidak ada sesiapa membantu sehinggalah ditemui dalam keadaan tertiarap dan kaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim( HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat juga sudah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, petang ini, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 2:24 PM