Roselan Ab Malek

DUA pensyarah Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) mencipta alat mengupas dan mencuci kunyit menggunakan mesin pengisar dan berus tanpa mengakibatkan kesan kuning pada jari.

Inovasi Norsuzilawate Zulkapli, 37, dan Osman Zolkifli,37, dapat membantu suri rumah dan pengusaha kedai makan menjimatkan masa mengupas dan mencuci kunyit berbanding kaedah manual menggunakan tangan.

Norsuzilawate yang juga Pegawai Penyelidikan dan Inovasi KKJ berkata, ramai surirumah dan pengusaha kedai makan menggunakan kunyit setiap hari dalam masakan dan terpaksa mengambil masa lama untuk mengupasnya apatah lagi dalam kuantiti yang banyak.

“Menerusi mesin ini, kerja mengupas dan mencuci kunyit dalam kuantiti yang banyak menjadi lebih mudah, menjimatkan masa berbanding menggunakan pisau untuk menanggalkan kulit kunyit.

“Mesin ini juga mesra pengguna dan mampu membersihkan kulit kunyit sepenuhnya dengan cepat sekitar 15 saat sahaja bagi 300 gram kunyit berbanding secara biasa mengambil masa kira-kira lima minit,” katanya ketika ditemui di Jerantut, hari ini.

Sementara itu, Osman yang juga Pegawai Keusahawanan KKJ berkata, kos mesin itu kira-kira RM100 menggunakan mesin pengisar yang diubahsuai bahagian mata pengisar dan diganti dengan berus.

Beliau berkata, mereka mengambil masa seminggu untuk mencari idea dan mencipta mesin berkenaan yang mampu dimiliki surirumah dan peniaga kedai makan.

“Mereka hanya perlu memasukkan kunyit ke dalam mesin ini dan dicampur sedikit air. Berus yang berpusing itu akan menanggalkan kulit kunyit dengan cantik tanpa sebarang pembaziran.

“Mesin yang mesra pengguna ini boleh juga digunakan untuk mengupas dan mencuci langkuas dan halia.

“Kami akan mengubahsuai mesin ini dari masa ke semasa agar lebih baik dan menepati kehendak pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 11:27 AM
OSMAN  (kanan) dan Norsuzilawate menunjukkan hasil kunyit yang siap dikupas dengan menggunakan mesin khas ciptaan mereka. FOTO Roselan Ab Malek
OSMAN (kanan) dan Norsuzilawate menunjukkan hasil kunyit yang siap dikupas dengan menggunakan mesin khas ciptaan mereka. FOTO Roselan Ab Malek