ASZIMAN (kanan) bersama penuntut, Mohd Asyraaf Asziman mempamerkan mesin memotong kentang ketika Program INNOPLEN 2019 peringkat Kebangsaan. FOTO Mohd Rafi Mamat
ASZIMAN (kanan) bersama penuntut, Mohd Asyraaf Asziman mempamerkan mesin memotong kentang ketika Program INNOPLEN 2019 peringkat Kebangsaan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

PUSAT Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kemaman, Terangganu berjaya mencipta mesin memotong kentang yang dapat memudahkan dan membantu menjimatkan masa usahawan.

Dalam masa lapan minit mesin yang dibahagikan kepada dua komponen itu mampu memotong 10 kilogram (kg) kentang dengan bentuk memanjang dan kiub.

Pensyarah ADTEC, Asziman Sukran berkata, dia bersama tiga rakannya mengambil masa lapan bulan untuk menghasilkan inovasi berkenaan yang hanya memerlukan kos kira-kira RM2,500.

Katanya, mesin memotong kentang yang pertama dihasilkan pihaknya untuk membantu usahawan menjimatkan kos tenaga kerja dan hanya seorang sahaja digunakan sebagai operator dalam jangka masa antara empat hingga enam jam sehari.

“Mesin memotong kentang menggunakan kuasa elektrik pada kadar rendah dan jimat. Alat memotong boleh ditukar mengikut kehendak operator serta boleh digunakan dalam jangka masa panjang.

“Saya berharap mesin memotong kentang yang kami hasilkan ini dapat diterima oleh usahawan yang terbabit dengan perniagaan makanan ringan itu dan karipap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program inovasi, pelancaran produk dan keusahawanan (INNOPLEN) 2019 peringkat kebangsaan di Dewan Sri Mahkota Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, baru-baru ini.

Seramai 450 peserta mewakili 125 pasukan membabitkan 26 institusi pendidikan seluruh negara bersaing pada program itu.

Pada pertandingan berkenaan, inovasi mesin memotong kentang meraih pingat emas dalam kategori bidang teknikal.

Asziman berkata, kejayaan meraih pingat emas pada INNOPLEN 2019 menambahkan lagi semangatnya untuk menghasilkan lebih banyak inovasi dalam usaha membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam dan luar bandar.

“Selepas ini saya bercadang untuk menghasilkan mesin memotong bawang, ubi kayu, keledek dan buah sukun yang mampu dimiliki usahawan kecil.

“Kejayaan pada INNOPLEN 2019 dapat menaikan imej ADTEC dalam bidang teknologi inovasi diperingkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya yang berharap masyarakat dapat menerima produk tempatan.

Sementara itu Pengarah POLISAS Dr Abd Latif Ahmad berkata, penganjuran INNOPLEN 2019 antara lain bertujuan untuk memartabatkan bidang kajian dan penyelidikan yang dilakukan golongan pelajar dan kakitangan di pusat pengajian tinggi tempatan selain untuk mencungkil bakat baru.

“Program terbabit juga dapat menonjolkan kemahiran seterusnya membudayakan kreativiti dan inovasi dikalangan pelajar dan ahli akademik terutama di Politeknik dan Kolej Komuniti yang perlu membuktikan kemampuan dimiliki, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:16 AM