ANGGOTA polis mengangkat mesin judi yang dirampas.
ANGGOTA polis mengangkat mesin judi yang dirampas.
KAKI judi yang ditahan ketika serbuan di pusat hiburan keluarga di Klang.
KAKI judi yang ditahan ketika serbuan di pusat hiburan keluarga di Klang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin dan Siraj Mohd Zaini


Klang: Di luar premis, tertera nama pusat hiburan keluarga namun ia hanyalah taktik bagi menyembunyikan kegiatan judi ala kasino ditawarkan kepada pelanggan.

Pengusaha premis itu yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di bandar ini dikesan sengaja menggunakan poster besar-besaran dengan berlatar belakangkan imej kartun sejak dua bulan lalu bagi mengaburi kegiatan haram yang dilakukannya.

Bagaimanapun kegiatan itu tumpas selepas digempur sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dalam Ops Dadu kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati premis berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga itu menyediakan satu pintu rahsia yang turut menempatkan puluhan mesin judi.

Menurutnya, polis merampas 18 mesin judi serta lapan mesin simulator selain wang tunai RM13,900 dalam serbuan itu.

“Mesin simulator ini sudah diubah suai dan dijadikan mesin perjudian dan wujudnya tawaran wang yang lumayan menjadikan tahi judi gelap mata.

“Di luar premis dikaburi dengan pusat hiburan keluarga dan kanak-kanak namun hasil risikan polis selama seminggu mengesahkan ia pusat judi ala kasino,” katanya.

Beliau berkata, lelaki warga emas berusia 74 tahun antara 22 ditahan dalam operasi bersepadu itu.

Katanya, turut ditahan lima pekerja premis iaitu empat lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan.

“Mereka berusia 19 hingga 74 tahun dan semakan mendapati warga Bangladesh itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Semua mesin yang dirampas diserahkan kepada Majlis Perbandaran Klang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 7:44 AM