PEKERJA stesen minyak mengambil peluang bergambar dengan penunggang motosikal yang mengikat patung penyu di belakang ketika dalam perjalanan dari Kuala Terengganu pulang ke Kulim. FOTO ihsan pembaca.
PEKERJA stesen minyak mengambil peluang bergambar dengan penunggang motosikal yang mengikat patung penyu di belakang ketika dalam perjalanan dari Kuala Terengganu pulang ke Kulim. FOTO ihsan pembaca.
Ahmad Rabiul Zulkifli


AKIBAT kecewa kerana hasrat untuk melihat penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang (PKPPRA), Dungun tidak tercapai, lapan pemuda dari Kulim, Kedah membeli patung penyu di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu, untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Lapan daripada sembilan pemuda yang berkonvoi motosikal ke Terengganu, Jumaat lalu itu adalah rakan sekerja di sebuah kilang di Kulim.

Bagaimanapun, gelagat mereka menggalas patung penyu pelbagai warna di belakang mencuri perhatian pengguna jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke Kulim, Sabtu lalu.

Zul Zain, 30, berasal dari Kampung Pondok Labu, Kulim, Kedah berkata, dia bersama sembilan rakannya itu merancang sejak sebulan lalu untuk berkonvoi ke Terengganu.

“Kami datang untuk melihat penyu, jadi kami ke Rantau Abang, tetapi malangnya PKPPRA sudah tutup.

“Kemudian kami ke pantai Rantau Abang dan Pantai Kelulut dengan harapan ada pusat konservasi penyu lain, tetapi tiada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Zul berkata, dia dan rakan melawat semua tempat menarik di Terengganu termasuk Pulau Warisan, Taman Tamadun Islam (TTI) dan PBKP.

“Kami sempat menikmati makanan tradisional dan popular di Terengganu antaranya keropok lekor dan ikan celup tepung.

“Tempat makan unik dan tular di media sosial di Kuala Terengganu kami singgah termasuk menikmati roti goyang gedik di Kedai Adil Roti di Losong,” katanya yang berpengalaman berkonvoi motosikal di seluruh Semenanjung.

Menurutnya, pada hari terakhir di Kuala Terengganu, dia dan rakan singgah ke PBKP dan sepakat membeli patung penyu untuk dibawa pulang ke Kulim.

“Kami membeli patung penyu pelbagai warna itu dengan harga RM35 setiap satu, tetapi peniaga mengurangkan harga ke RM25 kerana kami membeli dengan jumlah banyak.

“Sepanjang perjalanan kami diperhatikan, malah ada pengguna jalan raya membunyikan hon dan datang bergambar ketika kami berhenti rehat di stesen minyak,” katanya.

Menurutnya, dia pernah menyertai konvoi ke serata tempat, tetapi berkonvoi bersama rakan sekerja ke Terengganu paling menyeronokkan.

Katanya, biarpun ada motosikal mengalami kerosakan enjin di Gerik dan mereka terpaksa menunda motosikal itu sehingga ke Kulim, ia tidak merosakkan kegembiraan berkonvoi.

“Bermotosikal sambil penyu terikat pada bahagian belakang seolah-olah memberitahu kepada semua orang bahawa kami sudah sampai ke Terengganu dengan jayanya menggunakan motosikal,” katanya.

Manakala Fadhil Fauzi, 23, berkata, dia berasal dari Tanah Merah, Kelantan tetapi pertama kali ke Terengganu.

“Saya sangat teruja rakan memberitahu akan berkonvoi ke Terengganu seterusnya tidak melepaskan peluang untuk menyertainya.

“Seronok berkonvoi ke Terengganu dan berasa sangat bersyukur kerana sepanjang perjalanan keadaan cuaca baik dan tidak hujan.

“Memang agak mencabar menggalas patung penyu di belakang, tetapi ia tidak berbahaya cuma ada rasa bimbang patung itu tertanggal daripada ikatan dan melayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 8:17 PM