SUSPEK pengedar dadah yang ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO ihsan POLIS
SUSPEK pengedar dadah yang ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO ihsan POLIS
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menumpaskan rangkaian pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk seorang remaja Myanmar dalam serbuan berasingan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, remaja lelaki warga Myanmar berusia 19 tahun itu ditahan di Jalan Kolam Udang Kampung Bukit Malut, di sini, pada 9 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek menemui heroin seberat 3.20 gram (g) dan syabu 0.33 g, malah dia turut mengaku terbabit dalam penagihan dadah.

Katanya, susulan itu, polis menahan lelaki berusia 52 tahun di kawasan sama sejam kemudian bersama dadah heroin seberat 15.50 g dan syabu 3.50 g.

"Hasil maklumat daripada suspek, polis menahan pula lelaki berusia 20 tahun berhampiran sebuah premis di kampung berkenaan, setengah jam kemudian.

"Hasil pemeriksaan menemui heroin seberat 221.56 g, syabu (34.80 g) dan ganja (1.02 g) milik suspek.

"Saringan ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis morfin dan mereka direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 5:24 PM