Keratan akhbar laporan sebelum ini.
Keratan akhbar laporan sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail


POLIS sudah merekodkan keterangan individu membawa buluh yang tertusuk di leher seorang remaja berusia 17 tahun hingga meninggal dunia di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, Machang, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, keterangan lelaki berusia 62 tahun itu diambil selepas dia ditahan susulan kejadian itu.

Katanya, ujian air kencing turut dilakukan dan warga emas berkenaan dilepaskan selepas soal siasat awal, selesai dengan jaminan polis.

“Kita difahamkan buluh itu digunakan untuk mengait kelapa dan siasatan sedang dilengkapkan termasuk menunggu laporan doktor dan kimia sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menunggang secara cuai hingga menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shamsuri turut menasihati pengguna supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak kemalangan.

“Biarpun berada di kawasan kampung, keselamatan perlu diutamakan termasuk memakai topi keledar,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Mohd Asri Azman, 17, yang membonceng motosikal Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di leher akibat tertusuk buluh yang dibawa lelaki menunggang motosikal Honda EX5 dari arah bertentangan.

Buluh diletakkan di bahu lelaki itu namun, terkena leher Mohd Asri yang membonceng motosikal ditunggang sepupunya, untuk mengelilingi kampung.

Berita berkaitan:

Tragedi leher tercucuk buluh

Ziarah pusara rakan baik sebelum pergi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 2:57 PM