Suspek ditahan reman 14 hari bermula hari ini.
Suspek ditahan reman 14 hari bermula hari ini.
Hadzlihady Hassan

BIADAP dan kurang ajar! Ungkapan paling sesuai ditujukan kepada seorang lelaki Myanmar yang cuba menggoda isteri orang di Kampung Manis, Bukit Mertajam.

Kejadian berlaku kira-kira 9 pagi semalam ketika seorang wanita yang juga warganegara Myanmar sedang menjemur pakaian di luar rumah.

Difahamkan lelaki berusia 30-an itu menegur wanita berkenaan dan memujinya cantik serta mahu berkenalan lebih dekat tetapi tidak dilayan, sebelum dia mengekori wanita itu memasuki rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek kemudian bertindak biadap apabila memegang tangan mangsa menyebabkan mangsa ketakutan dan menjerit.

“Ketika kejadian ada bapa saudara mangsa sedang tidur di dalam rumah, terjaga kerana jeritan itu dan bergelut dengan suspek tetapi suspek berjaya melarikan diri.

“Secara kebetulan suami mangsa baru pulang dan sempat melihat kejadian itu, segera menghubungi polis untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan dan direman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 3:23 PM