Contoh kad pengundi baru yang diperkenalkan SPR. FOTO Ihsan SPR
Contoh kad pengundi baru yang diperkenalkan SPR. FOTO Ihsan SPR
Hairulazim Mahmud


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan satu lagi inisiatif terbaru iaitu kad pengundi yang diedarkan kepada 54,471 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih meliputi 951 pengundi awal dan 53,520 pengundi biasa.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu Pusat Mengundi, Saluran, Bilangan dan Masa Mengundi.

“Maklumat itu akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 26 Februari ini dan hari mengundi biasa 2 Mac ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Kebiasaannya maklumat seperti dalam kad pengundi itu diedarkan oleh parti bertanding untuk memancing undi.

Azhar berkata, pengundi yang sudah menerima kad itu tidak perlu lagi membuat semakan di Barung SPR.

Bagaimanapun katanya, pengundi tetap perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi.

Katanya, bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana kemungkinan berpindah, mereka boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu Pusat Mengundi, Saluran, Bilangan dan Masa Mengundi melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK Nombor Kad Pengenalan ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di talian 03-8892 7018.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:24 PM