Antara barangan yang dirampas. FOTO IHSAN POLIS
Antara barangan yang dirampas. FOTO IHSAN POLIS
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang lelaki ditahan, petang kelmarin selepas dipercayai terbabit dalam kes kecurian kabel di sekitar daerah ini.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di perkarangan Flat D'Pinggiran Kota, Lukut, di sini, pada 6 petang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya merampas kereta Perodua Kancil digunakan suspek serta beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatannya itu.

"Antara peralatan dirampas adalah lima alat pemotong wayar, satu gergaji besi, dua pemutar skru T, satu spanar boleh laras, satu pisau lipat, satu alat ragum, satu 'allen key', sehelai vest oren dan lima batang kabel tembaga.

"Hasil siasatan, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah, 14 rekod dadah dan kini masih ditahan reman di lokap Port Dickson sehingga 24 Februari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, hasil penahanan suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan lima kes kecurian kabel di sekitar Lukut, Port Dickson dan Bukit Pelandok pada tahun lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan curi yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 2:12 PM