GAMBAR kereta yang dilarikan suspek. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR kereta yang dilarikan suspek. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


NIAT lelaki untuk mencuci kereta bertukar tragedi apabila kereta miliknya dilarikan dalam kejadian di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Reko, di Kajang, semalam.

Menurut mangsa, Muhammad Mukhlis Muhammad Rosli, 26, dia pergi ke pusat cuci kereta berkenaan bersendirian, 10.40 malam.

Katanya, ketika tiba di lokasi, dia melihat beberapa lampu di pusat cuci kereta itu menyala dan ada seorang lelaki sedang duduk di bahagian kaunter.

“Saya menyangka pusat cuci kereta itu beroperasi kerana ada sebahagian lampu menyala. Malah, ada seorang lelaki memakai baju lusuh duduk di bahagian kaunter yang saya sangka pekerja di pusat berkenaan.

“Lelaki itu segera menghampiri kononnya mahu mencuci kereta saya iaitu Proton Saga FLX. Selepas saya mengeluarkan barang berharga dari kereta itu, lelaki berkenaan kemudian mengambil kunci dari tangan saya dengan alasan untuk mengalih kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia yang juga penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, lelaki itu terus memandu keretanya keluar dari pusat cuci kereta terbabit.

“Selepas beberapa minit kelibat kereta saya tidak kelihatan, saya terus menghubungi nombor telefon pemilik pusat cuci kereta itu yang terdapat pada banting di lokasi berkenaan.

“Pemilik yang datang ke lokasi kemudian memaklumkan pusat cuci kereta itu ditutup 8 malam kerana hujan dan dia memberitahu lelaki berkenaan juga bukan pekerja di premis itu,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Katanya, lelaki yang melarikan keretanya itu meninggalkan satu beg hitam mengandungi rokok, sarung tangan dan pisau dipercayai miliknya di pusat cuci kereta terbabit.

“Saya tidak menyangka kereta boleh dicuri dalam keadaan sebegitu kerana kita selalunya akan merasa selamat apabila tinggalkan kunci kereta pada pekerja pusat cuci kereta, namun ini pula terjadi.

“Cuma saya harap kejadian sebegini dapat dijadikan iktibar kepada pemilik pusat cuci kereta supaya meletakkan papan tanda tutup sekiranya tidak beroperasi bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 3:23 PM