GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkipy


KANAK-KANAK perempuan dipercayai didera ibu kandungnya selepas terdapat kesan cucuhan api rokok di perutnya dalam kejadian di Kampung Cacar Baru, Paka, Dungun.

Kejadian menimpa mangsa berusia empat tahun itu disedari nenek saudaranya berusia 40 tahun kira-kira 5 petang 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, nenek saudara mangsa memaklumkan mengambil mangsa dan adik lelakinya berusia dua tahun di rumah suspek berusia 25 tahun Januari lalu.

Beliau berkata, wanita terbabit mengambil keputusan menjaga dua beradik itu di rumahnya di Jalan Beruas, Kampung Bukit Merah, Paka kerana mendakwa dua beradik itu sering didera suspek.

“Sepanjang tempoh itu, wanita yang bekerja di sebuah kedai makan akan menghantar dua beradik itu ke rumah suspek kira-kira jam 8.30 pagi dan mengambil mereka semula pada jam 5 petang selepas selesai bekerja.

“Bagaimanapun, wanita terbabit terkejut apabila mendapati terdapat kes cucuhan api rokok pada bahagian kiri perut mangsa ketika membuka baju mangsa dipercayai akibat perbuatan suspek.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Paka semalam untuk rawatan sebelum doktor menasihatkan mangsa dibawa ke Hospital Dungun bagi pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, wanita terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Paka semalam untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha mengesan suspek yang dipercayai penagih dadah giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(5) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 5:57 PM