Izlaily Nurul Ain Hussein


REMAN terhadap ibu dan nenek kepada kanak-kanak yang dipercayai mangsa dera di Kulai, Johor disambung tujuh hari lagi.

Tempoh berkenaan yang bermula esok hingga 17 Januari ini dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap kedua-dua suspek.

Terdahulu, remaja berusia 18 tahun dan wanita 56 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula 4 Januari lalu dan berakhir hari ini.

Siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 3 Januari lalu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak berusia dua tahun tiga bulan dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai oleh ibunya pada 7.30 malam dalam keadaan tidak bernafas dan terdapat pendarahan di kedua-dua belah telinganya.

Kanak-kanak lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia sebelum kakitangan hospital menghubungi polis kerana mengesyaki dia didera.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah telinga mangsa selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kirinya.

Terdapat juga kesan lebam lama di bahagian belakang badan mangsa dan terdapat takungan air di kerongkongnya.

Kedua-dua suspek itu ditahan polis di hospital berkenaan kira-kira 8 malam pada hari kejadian.

Dua hari kemudian, lelaki yang tidak bekerja dan berusia 23 tahun dipercayai teman lelaki ibu mangsa ditahan polis pada 4.30 petang di Taman Putri, Kulai, bagi membantu siasatan.

Tangkapan itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dan memaklumkan suspek direman tujuh hari sehingga esok.

Berita berkaitan

Teman lelaki ibu ditahan

'Nenek mangsa menyayanginya'

Ibu dan nenek direman seminggu

Semoga syurga untukmu...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 3:33 PM