LELAKI ditemui mati pada bahagian belakang lori di Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
LELAKI ditemui mati pada bahagian belakang lori di Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

MAYAT lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam bahagian belakang lori di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan kawasan rumah kedai tiga tingkat di Taman Sejati, Sitiawan, hari ini.

Penemuan mayat lelaki dipercayai warga tempatan berusia antara 20 hingga 30-an itu ditemui oleh pemilik kedai berkenaan yang kemudiannya melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12 tengah hari.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di bahagian belakang lori berkenaan dan memakai baju warna putih, berseluar panjang serta bersarung tangan dengan kesan darah bertakung di bawah kepala dan badan mangsa.

"Terdapat kesan cedera di kepala mangsa dan lelaki itu disyaki sudah meninggal dunia lebih 24 jam.

"Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa dan punca sebenar kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, premisnya masih ditutup kerana cuti Tahun Baharu Cina dan dia ke kedai hari ini kerana mempunyai urusan kerja pada kira-kira 11 pagi.

"Pada mulanya saya tidak tercium apa-apa bau atau menyedari sebarang kejadian yang pelik, namun sebaik keluar dari kedai selepas urusan selesai tiba-tiba saya terbau busuk.

"Saya cari bau itu dan terkejut melihat mayat seorang lelaki berada dalam lori milik premis perniagaan saya yang diletakkan di hadapan kedai sebelum terus menghubungi polis memaklumkan penemuan itu," katanya.

Menurutnya, premisnya tidak mempunyai kesan pecah masuk, tiada barang yang hilang dan tiada kerugian serta turut mengakui lelaki berkenaan bukan pekerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 5:25 PM