Polis dan petugas kesihatan membuat siasatan di lokasi kejadian penemuan mayat seorang lelaki warga emas di sebuah rumah kedai di Jalan Pasar Lama, Kok Lanas, di sini, semalam. FOTO ihsan Polis
Polis dan petugas kesihatan membuat siasatan di lokasi kejadian penemuan mayat seorang lelaki warga emas di sebuah rumah kedai di Jalan Pasar Lama, Kok Lanas, di sini, semalam. FOTO ihsan Polis
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bau busuk sejak beberapa hari lalu membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas di sebuah rumah kedai di Jalan Pasar Lama, Kok Lanas, di sini, semalam.

Mayat lelaki berkenaan, Teh Pon Heng, 74, ditemukan orang awam pada 4.05 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang menemukan mayat mangsa.

Katanya, pihak polis ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa dalam keadaan terbaring di dalam rumah kedai yang dipercayai meninggal dunia sejak seminggu lalu.

"Lelaki itu dikatakan tinggal seorang diri dan ditemukan oleh jirannya selepas terhidu bau busuk. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga hadir memberi bantuan di tempat kejadian.

"Menurut jiran, kali terakhir melihat mangsa jam 3 petang pada 26 Julai lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, waris mangsa juga sudah dimaklumkan tentang kejadian itu.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian didapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:03 PM