ANGGOTA polis dan penduduk kampung mengangkat mayat Jusoh  yang ditemui mati di dalam sebuah parit kering.
ANGGOTA polis dan penduduk kampung mengangkat mayat Jusoh yang ditemui mati di dalam sebuah parit kering.

Dungun: “Syukur kepada Allah. Biarpun ditemui mati, mayat ayah telentang dalam keadaan mengadap kiblat,” kata Ahmad Tarmizi Jusoh, 37, selepas mayat bapanya ditemui dalam sebuah parit kering di ladang kelapa sawit Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Kampung Tepus di sini, semalam.

Mayat Jusoh Abdullah, 79, yang dilaporkan hilang selepas melawat kebun getahnya sejak 2 April lalu ditemui seorang pekerja ladang kira-kira lima kilometer dari kebunnya, kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Tarmizi berkata, dia bersyukur penantiannya untuk menemui bapanya dimakbulkan selepas gerakan mencari tidak putus-putus dilakukan penduduk kampung sejak arwah dilaporkan hilang.

“Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada 250 anggota pihak berkuasa menghentikan operasi selepas seminggu mencari ayah, tetapi saya bersama penduduk kampung tetap berusaha mencarinya, tetapi gagal.

“Hari ini (semalam) saya bersyukur ayah ditemui biarpun hanya mayat. Saya tetap reda dan bersyukur kepada Ilahi,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan penemuan mayat itu dan mengesahkan mayat yang sudah berbau itu adalah bapanya.

“Saya mengesahkan itu mayat ayah kerana pakaian, kasut dan sarung pisau yang terselit di pinggangnya cukup membuktikan itu ayah,” katanya.

Pekerja ladang, Ramzi Idris, 40, berkata, dia bersama enam rakan sedang menebas semak di ladang berkenaan sebelum seorang rakan sekerja Wan Gayah Ripin,47, memaklumkan tercium benda busuk.

“Wan Gayah meminta saya memeriksa bau itu sebelum menemui mayat dalam keadaan telentang tidak jauh dari tempat kami menebas.

“Saya tidak berani mengusiknya dan terus memaklumkan kepada penyelia sebelum dia memaklumkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:02 AM