Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menahan 16 individu termasuk tiga wanita yang juga suspek dalam kes culik membabitkan seorang ahli perniagaan selepas lelaki berusia 57 tahun itu dibebaskan daripada kurungan di Johor Bahru, minggu lalu.

Semua suspek warga tempatan berusia 21 hingga 59 tahun ditahan di sekitar Johor Bahru, sejak 31 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki itu diculik pada 27 Januari lalu di sebuah kawasan tangki air dekat Jalan Gelang Patah, ketika berjoging bersama rakannya dalam kejadian kira-kira 7 pagi.

Katanya, mangsa dikurung di sebuah rumah kosong di daerah ini selama lima hari sebelum dibebaskan selepas keluarganya membuat bayaran wang tebusan.

“Suspek meminta wang tebusan daripada keluarga suspek sebanyak RM300,000 dan SGD500,000 yang berjumlah RM1.8 juta.

“Bagaimanapun, mangsa dibebaskan selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM300,000 dan SGD265,000 yang semuanya berjumlah kira-kira RM1.09 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menemui semula wang tebusan sebanyak RM92,567 dan SGD5,190 iaitu kira-kira RM108,188 serta merampas Honda City yang dipercayai digunakan kumpulan suspek ketika melakukan penculikan.

Mohd Khalil berkata, ketika menculik mangsa, dua suspek memakai topeng muka dan pihaknya mendapati terdapat seorang suspek melepaskan satu das tembakan berikutan penemuan satu kelongsong peluru jenis 9mm di tempat kejadian.

(Dari kiri) Razarudin, Zainuddin dan Shaharuddin. FOTO NSTP
(Dari kiri) Razarudin, Zainuddin dan Shaharuddin. FOTO NSTP

Katanya, polis percaya kumpulan berkenaan mempunyai senjata api iaitu pistol 9mm.

Menurutnya, siasatan mendapati lima daripada suspek yang ditahan adalah ahli kumpulan kongsi gelap Gee Tiong Seng dengan salah seorang yang ditahan adalah ketua kumpulan berkenaan, selain ahli geng Ah Hor.

“Siasatan lanjut mendapati kumpulan kongsi gelap itu aktif sejak 2010 dan melakukan kes pemerasan serta perjudian.

“Kita masih mengesan sekiranya ada lagi suspek lain yang terbabit dalam kejadian ini dan kita akan pastikan semua yang terbabit ditahan.

“Lima daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan mungkin dengan tangkapan ini, kita boleh mengesan kegiatan jenayah lain yang dilakukan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khalil menafikan mangsa adalah warga Singapura seperti dilaporkan media republik berkenaan dan menegaskan mangsa lelaki adalah rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan eksport sayuran ke Singapura.

Katanya, hasil siasatan mendapati motif culik itu bertujuan mendapatkan wang tebusan berikutan kumpulan suspek mempunyai hutang yang banyak.

“Mangsa dikasari ketika penculikan berlaku, namun tidak dicederakan ketika dalam kurungan. Dia dibebaskan dengan selamat dan selepas diselamatkan, dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk pemeriksaan dan keadaannya baik dan sihat,” katanya.

Mohd Khalil berkata, semua suspek ditahan reman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 4:46 PM