Tindakan pasangan suami isteri warga Rusia melambung bayi mereka untuk mengutip sedekah sebelum ditahan polis. FOTO Ihsan Pembaca
Tindakan pasangan suami isteri warga Rusia melambung bayi mereka untuk mengutip sedekah sebelum ditahan polis. FOTO Ihsan Pembaca
Norizuan Shamsuddin

POLIS menahan suami isteri warga Rusia yang disyaki melambung bayi perempuan sewaktu membuat persembahan muzik di Bukit Bintang, Kuala Lumpur bagi tujuan mengemis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sewaktu membuat persembahan di Jalan Raja Abdullah kira-kira jam 3.30 petang, tadi.

Katanya, penahanan suspek berusia 27 dan 28 tahun terbabit dilakukan susulan maklumat awam berhubung kegiatan pasangan berkenaan.

“Sewaktu ditahan bayi perempuan berusia empat bulan berkenaan turut di berada bersama pasangan itu.

“Mereka didapati masuk melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand, Jumaat lalu.

“Kegiatan itu dilakukan bagi mengutip dana untuk menampung perbelanjaan mereka untuk melancong. Perkara sama turut dilakukan sewaktu mereka berada di Thailand,” katanya pada sidang media selepas meninjau kelancaran kempen Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina, di Plaza Tol Jalan Duta tadi.

Mazlan berkata, pihaknya turut memaklumkan kedutaan Rusia di negara ini berhubung penahanan suspek terbabit.

“Kita memaklumkan kepada pihak kedutaan Rusia bagi menjamin kebajikan bayi itu susulan penahanan kedua orang tuanya.

“Kita akan membuat permohonan reman terhadap suspek esok untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki pelancong asing sanggup melambung bayi dipercayai anaknya sendiri ketika mengemis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Malah perbuatan berbahaya pelancong itu berjaya dirakam salah seorang lelaki yang kemudian dikongsi dalam akaun Facebook miliknya, kelmarin.

Berita berkaitan

Lambung bayi demi duit [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 5:58 PM