Shaharudin (tengah) bergambar bersama pegawai dan kakitangan JPN Johor. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Shaharudin (tengah) bergambar bersama pegawai dan kakitangan JPN Johor. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


“SAYA nak qada aktiviti berkaitan agama,” kata Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharudin Sharif pada Majlis Ketik Terakhir Pengarah Pendidikan Johor di Jabatan Pendidikan Johor di Johor Bahru hari ini.

Shaharudin yang bersara wajib pada usia 60 tahun hari ini melepaskan jawatan itu selepas berkhidmat selama 35 tahun.

Beliau yang berbaju Teluk Belanga turut berjenaka di hadapan kakitangannya dengan bertukar status sebagai kakitangan RTM atau ‘Rehat Tunggu Mati’ sepanjang tempoh persaraan.

Pertukaran itu menyaksikan Shahrudin bertukar nota serahan tugas kepada Timbalannya, Azman Adnan yang akan memangku jawatan itu.

Beliau yang mengetik pada jam 3.57 petang hari ini disambut dengan selawat nabi lebih 100 kakitangan jabatan dan diakhiri dengan konvoi bersama 36 ahli kelab Edu Bikers Johor menaiki kereta Mercedez Benz tertera perkataan ‘Just Retired’.

Shaharudin berkata, banyak pengalaman diperoleh sepanjang terbabit dalam sektor pendidikan dan terakhir memikul jawatan Pengarah Pendidikan Negeri Johor selama dua tahun.

Katanya, dia yang dilantik jawatan itu pada 26 April 2016 mahu melihat pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) yang dilaksanakan sebelum ini menampakkan hasil membanggakan.

Beliau bersyukur komitmen kerajaan negeri dalam menyalurkan dana berjumlah RM1 juta yang diuruskan Sektor Pengurusan Akademik bagi melihat modul sekolah PAK21.

“Akhirnya, kita dapat lihat hasilnya apabila banyak sekolah di Johor sudah faham apa itu pendidikan PAK21.

“Paling ketara kita boleh lihat suasana sekolah berubah ceria termasuk keadaan pelajar yang semakin ceria ketika di sekolah,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kluang Johor juga mahu melihat enam cucunya memperoleh pendidikan berkualiti menerusi usahanya merencanakan program PAK21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:58 PM