NUR Azwa masih menanti kepulangan Mohamad Aiman yang disyaki diculik. FOTO Zaman Huri Isa
NUR Azwa masih menanti kepulangan Mohamad Aiman yang disyaki diculik. FOTO Zaman Huri Isa
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: “Mummy...mana daddy?” Itu pertanyaan setiap hari Muhammad Rizky Rayyan mengenai bapanya, Mohamad Aiman Zafry, 26, yang hilang dipercayai diculik di Jalan Pekeliling di sini, dua tahun lalu.

Ibunya Nur Azwa Syazwani Abdullah, 26, berkata setiap kali anaknya yang berusia empat tahun itu bertanya mengenai suaminya, dia sukar menjawab kerana jawapan sama diberikan dalam tempoh kehilangan Mohamad Aiman.

“Setiap kali diajukan soalan itu, saya akan menangis dan jika kami melalui jalan Wakaf Che Yeh, Muhammad Rizky Rayyan akan melaung memanggil bapanya kerana sudah kenal tempat kerja ayahnya.

“Saya tidak tahu sampai bila akan memberi jawapan sama kepada anak iaitu ‘daddy kerja sayang’. Ini kerana sehingga hari ini saya sendiri tidak tahu keadaan suami.

“Setiap hari saya berdoa semoga dipertemukan suami walau dalam apa jua keadaan kerana kami kini hidup dalam kesedihan dan tertanya-tanya,” katanya ketika hubungi di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan dalam kejadian jam 11.15 malam pada 5 Julai 2017, Mohamad Aiman bersama isteri yang berhenti di kedai runcit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Tembak di sini, didatangi sebuah kereta sebelum tiga lelaki keluar memaksa mangsa masuk ke dalam kenderaan mereka.

Isterinya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung kejadian itu sebelum dihubungi seorang lelaki menggunakan nombor telefon Thailand meminta wang tebusan RM50,000.

Berikutan itu, polis berusaha mengesan suspek utama kes penculikan pembantu am sebuah hotel yang dikenali sebagai Pok We.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:32 AM