KAMPUNG Tandek Laut di Kota Marudu antara lokasi yang masih terjejas akibat banjir di Sabah. FOTO Recqueal Raimi.
KAMPUNG Tandek Laut di Kota Marudu antara lokasi yang masih terjejas akibat banjir di Sabah. FOTO Recqueal Raimi.
Wan Faizal Ismayatim


TUJUH sekolah di dua daerah di Sabah ditutup akibat banjir yang menjejaskan 1,989 murid dan pelajar serta 173 guru.

Ia membabitkan lima sekolah rendah iaitu empat di daerah Beluran di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Labuk Sugut, selain dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pitas.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, empat sekolah ditutup di Beluran ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sualok, SK Binsulung, Sungai-Sungai dan Tampat.

Katanya, tiga sekolah yang ditutup di Pitas ialah SK Sosop, Kusilad dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas II.

“Kesemua sekolah yang ditutup di Beluran dan SMK Pitas II adalah disebabkan kawasan sekolah ditakungi air, manakala dua sekolah rendah di Pitas ditutup kerana jalan utama ke sekolah tidak boleh dilalui akibat digenangi banjir,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir iaitu SK Pamol di Beluran, SK Pekan Pitas II di Pitas dan SK Ranau di Kota Marudu.

Setakat jam 8 pagi tadi, banjir di Sabah yang masuk hari ketiga hari ini menyaksikan seramai 2,141 mangsa daripada 542 keluarga masih ditempatkan di 15 PPS di tiga daerah.

Berita berkaitan

2,141 mangsa banjir masih di PPS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 10:52 AM