GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SELEPAS lebih 10 hari diburu akhirnya seorang lelaki yang dipercayai terbabit menyamun wanita warga emas di sebuah pasar raya di Jalan Perdagangan, Raub, 12 Januari lalu ditahan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun terbabit ditahan Rabu lalu selepas pihaknya menjalankan risikan dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Difahamkan, suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Sungai Chalit, jam 10 pagi.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya turut merampas baju yang digunakan suspek ketika menjalankan kegiatan samun pada 12 Januari lalu.

“Semakan ke atas rekod suspek mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah dan satu berkaitan dadah.

“Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian itu, Zanuriah Mohd Noh @ Mud, 65, kerugian RM550 selepas disamun ketika sedang mengeluarkan duit daripada dompetnya yang diletakkan di dalam beg tangan.

Katanya, bertindak hasil laporan yang dibuat mangsa dan rakaman CCTV di kawasan premis suspek berjaya ditahan .

Suspek kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun tanpa senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 11:02 AM