Gambar hiasan
Gambar hiasan
Suraya Roslan


MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menasihatkan semua pihak yang ingin membuat kutipan wakaf supaya terlebih dulu mendapat kebenaran daripada agensi berkenaan.

MAIWP tampil menjelaskan mesej tular di Facebook mengenai pembukaan hospital wakaf pertama di Malaysia yang menyediakan rawatan dan ubat percuma kepada golongan asnaf serta mereka tidak berkemampuan.

Unit Komunikasi Korporat agensi itu memaklumkan, kebenaran daripada MAIWP sebagai agensi diberi kuasa selari dengan Seksyen 61 dan 62 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] adalah wajib untuk aktiviti kutipan wakaf di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, MAIWP mengucapkan tahniah atas niat dan usaha murni yang dilakukan pihak terbabit namun pihaknya perlu tampil memberi penjelasan bagi mengelak kekeliruan.

“Dalam mesej yang tular dinyatakan kos rawatan untuk asnaf akan ditanggung Majlis Agama Islam Wilayah (Persekutuan), sebagai pencerahan MAIWP menawarkan Skim Bantuan Perubatan kepada golongan asnaf melalui peruntukan wang zakat, bagaimanapun penyaluran bantuan ini tertakluk kepada syarat yang berkuat kuasa.

“Berhubung kenyataan Hospital Kasih selaku ejen zakat MAIWP, kami ingin menegaskan Kasih Holding Sdn Bhd dilantik oleh Pusat Pungutan Zakat MAIWP sebagai ejen kutipan zakat. Namun, kami tidak terbabit dalam pengurusan atau operasi hospital serta tidak bertanggungjawab atas sebarang aktiviti dilakukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi agensi itu.

Kata kenyataan itu, penggunaan nama Tabung Zakat Kasih MAIWP juga didapati mengelirukan dan berdasarkan perbincangan dengan Kasih Holding terdapat salah faham berhubung nama berkenaan dan akan diperbetulkan pihak terbabit.

“Perkara ini sudah dipanjangkan kepada Kasih Holding dan tindakan pembetulan akan dibuat dalam aktiviti promosi mereka,” katanya.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai hospital wakaf pertama di Malaysia yang memberikan rawatan dan ubat percuma kepada golongan asnaf, mereka tidak berkemampuan termasuk bukan Muslim.

Dalam mesej tular itu turut dinyatakan konsep hospital wakaf itu direalisasikan pakar kanak-kanak, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi yang ingin menjadikan hospital sebagai satu entiti berlandaskan patuh syariah dan bebas dari konsep riba serta sebagai mukadimah kepada hospital wakaf yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:51 PM