GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah meluluskan keseluruhan bantuan sebanyak RM45.65 juta bermula hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac hingga 27 Julai lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, bantuan itu disalurkan kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti merangkumi golongan asnaf, terjejas, barisan hadapan, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gelandangan.

Antara bantuan yang diberikan katanya, ialah zakat khas tambahan sebanyak RM500 kepada 24,156 asnaf berjumlah keseluruhan RM12 juta selain MAIWP mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan bulanan pada bulan pertama PKP diumumkan.

"Bagi mereka terjejas akibat PKP, MAIWP turut menyediakan bantuan zakat kecemasan COVID-19. Sehingga kini, seramai 17,500 orang telah menerima manfaat daripada skim bantuan ini yg berjumlah keseluruhan RM8.65 juta.

"MAIWP turut mengagihkan bantuan makanan harian kepada petugas barisan hadapan, menyalurkan bantuan kewangan bagi peralatan perubatan kepada tujuh hospital dan bantuan PPE (alat perlindungan peribadi) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang meminta penjelasan setakat mana sumbangan wang zakat dan baitulmal digunakan untuk membantu golongan terkesan sepanjang PKP, ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Marzuk turut memaklumkan, jumlah bantuan yang diagihkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) adalah sebanyak RM426.9 juta, namun tidak memberi tempoh ia dilaksanakan.

Sementara itu, beliau menjelaskan ketika ini, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bertindak sebagai penyelaras dan pemudah cara kepada MAIN serta AMZ dalam isu-isu berkaitan zakat di peringkat Persekutuan.

Berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Wakaf Wilayah Persekutuan bagi memperkasakan institusi wakaf, beliau berkata RUU tersebut dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen pada Disember 2020.

Beliau berkata, RUU wakaf ini hanya akan mempunyai kuasa di peringkat Wilayah Persekutuan dan tidak memberi kesan kepada negeri kecuali negeri meminda dan menggubal enakmen yang sama dengan RUU wakaf tersebut.

Ini berdasarkan Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, katanya menjawab soalan tambahan Nik Muhammad Zawawi berkenaan langkah strategik kerajaan supaya zakat dan wakaf dapat digunakan dengan lebih berkesan dalam negara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 2:10 PM