Zuhainy Zulkiffli

Balik Pulau: Polis menumpaskan ‘Geng Kargo Ondong’ terbabit dalam kehilangan alat unit mikro pemprosesan milik sebuah syarikat multinasional beroperasi di Bayan Lepas, mengakibatkan kerugian bernilai RM8.3 juta.

Kejayaan itu adalah susulan penahanan tujuh lelaki di Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang juga suspek kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan 2,871 alat unit mikro pemprosesan itu bernilai RM3.2 juta daripada wakil syarikat terbabit pada 27 Disember lalu.

“Berdasarkan maklumat dan risikan kami, empat lelaki di Pulau Pinang, dua lelaki di Ipoh dan seorang lagi di Alor Setar ditahan dalam serbuan berasingan sejak 11 Januari lalu.

“Suspek berusia 29 hingga 52 tahun adalah pemandu lori kontena, pekerja syarikat ejen penghantaran dan bekas pekerja di syarikat berkenaan,” katanya, semalam.

Anbalagan berkata, kejadian kehilangan itu disedari selepas syarikat membeli alat unit mikro pemprosesan berkenaan di Amsterdam, Belanda, mendapat unit diterima kurang daripada tempahan dibuat.

“Dalam dua kejadian terdahulu Mac dan April lalu, pihak syarikat sudah membuat laporan, namun kami belum dapat mengenal pasti pihak terbabit dalam kehilangan alat unit mikro pemprosesan berkenaan.

“Susulan laporan terbaharu Disember lalu, kami menemui petunjuk dan menahan tujuh suspek berkenaan,” katanya.

ANBALAGAN (dua dari kanan) menujukkan sebahagian wang tunai yang dirampas. FOTO Ramdzan Masiam
ANBALAGAN (dua dari kanan) menujukkan sebahagian wang tunai yang dirampas. FOTO Ramdzan Masiam

Beliau berkata, modus operandi digunakan adalah dua ahli geng berkenaan akan bersembunyi lebih awal di dalam kontena lori sebelum lori dipandu ke lokasi pengambilan alat mikro pemprosesan di gudang barang di Bayan Lepas.

“Mereka bersembunyi dalam ruang yang sudah diubah suai di hujung kontena yang menggunakan papan lapis. Malah papan lapis dicat menggunakan warna sama seperti dinding kontena bagi mengelakkan kehadiran mereka disedari,” katanya.

Pihaknya sedang mengesan seorang lagi lelaki yang dipercayai orang tengah geng berkenaan, dikenali sebagai Mohd Nor Affenddie Baharudin, 36, berasal daripada Sungai Pinang.

“Lelaki ini adalah pekerja dokumentasi sebuah gudang di Batu Maung. Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Individu berkenaan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:14 AM