MANGSA. FOTO Ihsan Polis
MANGSA. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


AKIBAT berselisih faham, pesara tentera retak tangan kiri selepas diserang lelaki dikenalinya dengan sebatang kayu di sebuah kedai di Labu Besar, di Kulim, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki berusia 52 tahun itu berjalan kaki pulang ke rumahnya.

Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian tiba-tiba didatangi suspek berusia 58 tahun terus menyerang dan memukulnya dengan sebatang kayu di tangan kiri dan mata kiri.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, selepas memukul mangsa, suspek kemudian melarikan diri.

Katanya, akibatnya, pesara tentera terbabit menerima rawatan di Hospital Kulim kerana mengalami retak di tangan kiri.

Menurutnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sebaik menerima laporan itu, usaha mengesan suspek dijalankan sebelum menahannya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, jam 11.30 malam.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian selepas siasatan awal suspek mendakwa bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan meletak sesuatu di kedai miliknya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, perintah tahanan reman akan dipohon hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 9:24 AM