GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fazrik Kamarudin


POLIS menahan sepasang suami isteri selepas disyaki terbabit dalam satu kes samun seorang lelaki warga Bangladesh membabitkan kerugian wang tunai sebanyak RM40,000, kelmarin.

Kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Petaling Jaya kira-kira lima jam selepas mereka dipercayai menyamun mangsa di kawasan letak kereta sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini, jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya kini sedang memburu dua lagi rakan subahat kepada suspek.

“Tangkapan pertama dilakukan jam 7 petang, hari sama, seorang lelaki tempatan ditahan di Sunway Teknology Park, Petaling Jaya dan merampas wang tunai RM1,450 dan sebuah van milik syarikat suspek bekerja yang digunakan sewaktu kejadian.

“Berdasarkan maklumat suspek pertama, kami menahan seorang wanita yang juga isterinya di Flora Damansara, jam 12.30 tengah malam dan merampas telefon pintar beserta sim kad milik suspek.

“Polis juga berjaya menemui telefon pintar milik mangsa yang di buang di kawasan belukar berdekatan Penchala Hill,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Shaharuddin berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 31 tahun itu bertemu dengan seorang wanita yang ingin meminjam wang daripadanya di sebuah hotel.

“Apabila mangsa berada di hotel, dia kemudian dihubungi wanita terbabit yang memaklumkan dia berada di hadapan hotel bersama tiga lelaki sebelum dia segera ke lokasi itu kerana khuatir akan keselamatan wanita berkenaan.

“Namun, mangsa kemudian didatangi tiga lelaki tempatan yang menaiki van dan salah seorang daripada mereka memarahi dan menuduh mangsa mengganggu wanita berkenaan yang didakwa sebagai isterinya.

“Tiga suspek terbabit kemudian memukul mangsa menggunakan topi keledar dan menolak mangsa sehingga terjatuh di atas jalan sebelum mengambil beg sandang yang mengandungi wang tunai RM40,000 serta telefon pintar,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 12 Januari.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 7:12 PM