Anggota Polis menjalankan pemeriksaan individu terbabit judi dalam talian. NSTP/Ihsan PDRM
Anggota Polis menjalankan pemeriksaan individu terbabit judi dalam talian. NSTP/Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor menahan tujuh individu disyaki terbabit dalam kegiatan judi dalam talian ketika serbuan di Taman Puteri, Johor Bharu, di sini, malam tadi.

Dalam Ops Dadu kira-kira jam 9.30 malam itu, tujuh lelaki terdiri daripada dua penjaga premis dan lima pemain berusia antara 19 hingga 46 tahun ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian, Maksiat (D7) JSJ, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dibantu JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

“Serbuan dibuat di sebuah kedai makan dan kita menahan tujuh yang mana dua disyaki penjaga premis dan lima lelaki disyaki pemain.

Kita juga merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan perjudian dan wang tunai sebanyak RM706 dan SGD30 (RM90.94),” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) akta yang sama.

Pada masa sama, beliau berkata, Polis Johor tidak akan berkompromi dalam apa jua jenis perjudian.

“Masyarakat setempat diminta memberi maklumat supaya jenayah perjudian dapat dihapuskan sehingga ke akar umbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 4:59 PM