Hadzlihady Hassan


LELAKI yang menyimbah air panas ke anak perempuannya sudah ditahan polis di hadapan kedai durian, Paya Terubong, Georgetown hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berusia 33 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan suami isteri terbabit juga bebas daripada pengaruh dadah.

“Mereka akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 pagi, 27 Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di badan selepas disiram air panas oleh bapanya.

Bapa bersama ibunya kemudian melarikan diri selepas kejadian itu.

Mangsa yang juga anak tunggal perempuan daripada empat beradik itu masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Suspek dikatakan berang kerana mangsa menghabiskan makanan yang dimasak isterinya ketika dia pulang ke rumah.

Berita berkaitan

Berang anak habiskan makanan

Tergamaknya bapa siram air panas...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 8:06 PM