ANTARA bubu naga yang dirampas PPM. Foto Ihsan PPM
ANTARA bubu naga yang dirampas PPM. Foto Ihsan PPM
Iskandar Shah Mohamed


DUA belas pukat bubu naga yang diharamkan penggunaannya di negara ini dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan laut Sekinchan, Pelabuhan Klang semalam.

Namun tiada tangkapan dilakukan dalam Op Pensura pada jam 5.20 petang itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, penggunaan pukat itu dikesan selepas pihaknya menemui tiga pancang buluh terapong berlampu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada pukat bubu naga di bawah penanda berkenaan.

“Anggota kita menjalankan pemantauan selama dua jam di kawasan itu bagi mengesan pemiliknya namun masih tidak kelihatan,” katanya hari ini.

Khairuddin berkata, semua pukat yang dianggarkan bernilai RM1,200 itu dihantar ke markas operasi pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 49 (1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan peralatan tanpa kebenaran dan kelulusan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Difahamkan, pemasangan bubu yang digunakan di Thailand itu digelar ‘naga’ kerana bentuknya bersambung hingga panjang.

Penggunaan bubu itu biasanya dilakukan oleh ‘nelayan segera’ kerana hanya perlu diletakkan di laut dan mengaut hasilnya.

Ia boleh mengakibatkan kemusnahan ekosistem dan sumber hasil laut dalam jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:39 PM