KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk selepas melanggar pokok di tepi jalan dalam kemalangan kendiri di Jalan Wong King Hui di Sibu. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk selepas melanggar pokok di tepi jalan dalam kemalangan kendiri di Jalan Wong King Hui di Sibu. FOTO Ihsan Bomba
Harun Yahya


ADIK hanya mampu melihat abangnya menghembuskan nafas terakhir di selepas kereta dinaiki mereka merempuh pokok di Jalan Wong King Hui di Sibu, hari ini.

Dalam kemalangan 1.30 pagi itu, mangsa Tay Teng Kho, 42, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah pada kepala dan badan, manakala adiknya Tay Lee Hong, 38, juga dilaporkan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata siasatan awal mendapati Perodua Viva dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Jalan Oya menuju Bulatan Wong King Huo di sini.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Lee Hong dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pokok di kiri jalan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta berkenaan remuk dan mangsa tersepit di dalam kenderaan. Pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

“Pasukan perubatan dari Hospital Sibu mengesahkan penumpang kereta meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Alexson berkata, mayat Teng Kho dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat manakala adiknya kini menerima rawatan di hospital sama dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu dipanggil ke lokasi kejadian untuk membantu memotong besi kereta yang remuk untuk mengeluarkan mangsa.

Bomba menggunakan pemotong besi khas untuk memotong bahagian kereta yang remuk bagi membolehkan mangsa yang maut dan cedera dikeluarkan dari kenderaan sebelum diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 3:47 PM