DADAH yang ditemui pada paha suspek. FOTO Ihsan NHK, Jepun
DADAH yang ditemui pada paha suspek. FOTO Ihsan NHK, Jepun
Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Jepun selepas didapati cuba menyeludup empat kilogram dadah di Lapangan Terbang Kansai, Osaka, Jepun, 27 November lalu.

Menurut portal berita NHK, Jepun, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan selepas pihak berkuasa Jepun curiga dengan maklumat diberikan apabila mengisytiharkan akan tinggal selama lima hari, namun hanya membawa beg galas kecil.

Laporan itu menyebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Kansai kemudian membuat pemeriksaan terhadap lelaki itu sebelum menemui sebanyak sembilan bungkusan kecil yang diikat dengan pita pelekat disorokkan di bawah pakaian lelaki berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu menyorokkan sembilan bungkusan kecil yang dilekatkan pada bahagian paha, punggung dan dada menggunakan pita pelekat.

“Selepas diteliti, pihak berkuasa Lapangan Terbang Kansai mendapati ia mengandungi dadah keseluruhannya seberat empat kilogram dan dianggarkan bernilai 240 juta yen atau kira-kira RM9 juta,” katanya.

Menurut laporan itu, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mengaku ditugaskan untuk menyeludup dadah berkenaan dan diarahkan berjumpa seorang lelaki di sebuah bilik hotel di Kansai.

“Lelaki itu juga mengaku akan pulang terus semula ke Malaysia apabila dadah terbabit berjaya diserahkan kepada lelaki yang akan menerima bungkusan berkenaan.

“Pihak berkuasa Jepun kini sedang menyiasat kes berkenaan bagi mengesan sindiket yang mendalangi kegiatan penyeludupan dadah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi memaklumkan akan mendapatkan maklumat mengenai kes berkenaan, sebelum mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 3:41 PM