ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan bahagian enjin feri penumpang. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan bahagian enjin feri penumpang. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


SEMBILAN krew feri penumpang yang dalam perjalanan mengisi minyak berdepan detik cemas apabila bahagian enjinnya terbakar kira-kira 0.5 batu nautika berhampiran Jeti Point, di Langkawi, hari ini.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku 9 pagi itu tidak membabitkan penumpang berikutan sedang diselenggara.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zuhair Faisal Zulkifli berkata, pihaknya mengambil masa empat minit untuk ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan 9.08 pagi.

Beliau berkata, pihaknya turut dibantu Jabatan Laut yang menyediakan kemudahan bot jenis MC SUHAIL untuk memudahkan operasi.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran hanya membabitkan bahagian enjin feri berkenaan berikutan usaha pemadaman berjaya dilakukan dengan pantas.

“Bagaimanapun punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zuhair berkata, pihaknya menamatkan operasi sepenuhnya 2.21 petang.

“Buat masa ini, feri terbabit sudah diuruskan pengusahanya untuk kerja pembaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 9:32 PM